Oleh: Syeikh Salman al-Oadah
Artikel asal: FIQH – The Proper Understanding
Keupayaan untuk berfikir dan memahami adalah salah satu daripada nikmat terbesar kurniaan Allah kepada manusia. Apabila seseorang mempunyai pemahaman yang wajar beserta dengan tujuan yang benar dan mulia, dia pasti akan mendapat petunjuk dan berada di jalan yang lurus. Sebab itulah kita memohon kepada Allah di dalam solat dengan “Tunjukkilah kami ke jalan yang lurus”
Pemahaman adalah dengan kurnia Allah. Ia adalah cahaya yang kita gunakan untuk membezakan mana yang betul dan mana yang korup serta mana yang benar dan mana yang salah. Kemampuan manusia untuk memahami tidak sama antara satu sama lain. Setiap orang adalah unik. Sekiranya semua manusia mempunyai kemampuan memahami yang sama, maka kita akan dapati bahawa semua ilmuan dan pakar-pakar berada di dalam persefahaman selama-lamanya. Tiada siapa akan dipuji atau dikagumi ke atas pemikiran dan pengetahuan mereka.
Kita boleh ambil pelajaran daripada kisah antara Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS. Rasulullah SAW bersabda [Sahih al-Bukhari (3427) dan Sahih Muslim (1720) ]:
Dua wanita keluar bersama dengan anak mereka. Salah seorang dari mereka diserang oleh Serigala dan anaknya dilarikan. Dua wanita tersebut kemudian bertengkar ke atas anak yang masih ada dan mengadukan kes mereka kepada Nabi Daud AS. Baginda memberikan keputusan yang menyebelahi wanita yang lebih tua antara keduanya.
Kemudian mereka pergi kepada Nabi Sulaiman AS. Baginda bertanya: “Bagaimana dia (Nabi Daud AS) memberi arahan kepada kamu? Wanita-wanita tersebut menceritakan. Kemudian Nabi Sulaiman AS berkata: “Berikan aku sebilah pisau. Aku akan membahagi sama rata anak tersebut antara kamu”
Wanita yang lebih muda berkata: “Adakah engkau akan membelah dia menjadi dua?” Baginda membenarkan andaian wanita muda itu. Wanita muda itu berkata: “jangan lakukannya! Aku serahkan bahagian aku kepadanya.”
Nabi Sulaiman kemudian berkata: “Dia adalah anak kamu”. Dan menyerahkan anak tersebut kepada wanita yg lebih muda.
Allah berfirman di dalam Al-Quran tentang kes lain di mana dua orang bertengkar:
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka. Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak) … [Surah al-Anbiya’: 78-79]
Pertamanya kita dapati bahawa Allah berfirman: “Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu”. Di sini Allah menunjukkan kepada kita bahawa Nabi Sulaiman sahaja yang memahami kes tersebut.
Kemudian Allah memuji kedua-dua Nabi Daud dan Nabi Sulaiman atas pengetahuan dan kebijaksanaan mereka apabila Allah berfirman: “dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak)”. Nabi Daud juga dikenali dengan ketepatan pemikiran dan kekuatan mindanya.
Memahami sesuatu bermaksud untuk mengetahui sesuatu itu sebagaimana ia perlu diketahui. Di dalam bahasa Arab, perkataan untuknya adalah fahm. Terdapat satu lagi perkataan Arab untuk pemahaman, yang lebih jitu maksudnya. Perkataan tersebut adalah fiqh. Perkataan ini digunakan di dalam istilah Islam sebagai “Undang-Undang Islam”.
Fiqh dari segi bahasa bermaksud pemahaman khusus yang melibatkan kefahaman minda dan juga (kefahaman) di dalam hati disertakan dengan perbuatan-perbuatan seseorang. Perkataan fiqh muncul di dalam Al-Quran lebih kurang 20 kali. Jika kita mengambil kira bagaimana perkataan ini digunakan, kita akan lihat ia tidak digunakan semata-mata sebagai memahami sesuatu maksud. Mengikuti maksud sesuatu arahan secara membuta tuli berkemungkinan menunjukkan bahawa arahan tersebut difahami, tetapi ia tidak menunjukkan kefahaman sebagaimana yang diisyaratkan oleh perkataan Arab fiqh. Ini memerlukan seseorang untuk menyedari masalah itu secara keseluruhan dan memahami semua implikasi-implikasinya.
Allah berfirman:
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami (yafqohu) perkataan (nasihat dan pengajaran)?” [Surah al-Nisa’: 78]
Allah berfirman:
“Mereka berkata: Wahai Syuaib,! kami tidak mengerti (nafqohu) kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati) dan engkau pula bukanlah orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami!” [Surah Hud: 91]
Allah berfirman:
“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya (yafqohu) dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak) dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayat petunjuk selama-lamanya.” [Surah al-Kahf: 57]
Di dalam setiap kes, orang-orang yang diperkatakan memahami maksud ayat-ayat yang telah diperkatakan. Malah mungkin mereka telah menghafalnya. Sungguhpun demikian, hati-hati mereka tidak tersentuh dan mereka tidak dapat menerima implikasi-implikasi dari maksud ayat-ayat tersebut.
Kefahaman dalam konteks fiqh ini adalah sesuatu yang perlu dibangunkan secara aktif. Ia sebahagiannya bersifat instinktif dan sebahagiannya boleh diperolehi. Seseorang yang mempunyai berkebolehan tinggi dalam hal ini adalah seseorang yang mempunyai bakat di dalam memahami kemudian membangunkannya melalui ilmu pengetahuan dan usaha yg berterusan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Yang terbaik di kalangan kamu di waktu jahiliyyah adalah yang terbaik di kalangan kamu selepas memeluk Islam, jika mereka memperolehi kefahaman.” [Sahih al-Bukhari (3494) dan Sahih Muslim (2526)]
Mungkin apa yang Rasulullah SAW maksudkan adalah bakat semulajadi yang tinggi ditambah dengan panduan Islam yang sewajarnya adalah ideal, dan sesiapa yang Allah kurniakan dengan kedua-duanya adalah terbaik antara manusia.
Undang-undang Islam – yang mana dirujuk sebagai “sains fiqh” – meletakkan kefahaman sebagai objektifnya yang tertinggi. Terdapat dua aspek kepada kefahaman di dalam undang-undang Islam yang diperlukan di dalam diri para ilmuan Islam:
1. Memahami keadaan-keadaan. Keadaan yang dipertimbangkan mesti difahami dari semua sudut. Keseluruhan faktor perlu diambil kira, termasuk perbezaan berdasarkan masa, tempat dan keadaan semasa. Inilah apa yang diperlukan untuk menghasilkan pengetahuan yang tepat terhadap situasi dalam konteks yang sewajarnya, supaya semua perkara berkaitan boleh dijelaskan secara rasional.
2. Memahami bagaimana untuk bertindak terhadap keadaan-keadaan. Kita perlu mengetahui apakah yang diperlukan berdasarkan keadaan yang dipertimbangkan. Bagaimana kita perlu bertindak di dalam situasi itu? Apakah peraturan Allah yang diambil dari Al-Quran dan daripada hadith-hadith Rasulullah SAW? Dengan kata lain: Bagaimana Quran dan Sunnah hendak diaplikasikan terhadap situasi tersebut?
Proses-proses ini dikenali sebagai – Ijtihad – di mana ilmuan sehabis daya dan berusaha sebaik mungkin untuk sampai kepada peraturan Allah di dalam sesuatu perkara. Ia adalah usaha yang memberikan samada satu atau dua ganjaran.
Rasulullah SAW menyedari ketakpastian ini. Baginda bersabda:
“sekiranya seseorang ilmuan berijtihad dan dia benar, dia akan mendapat dua ganjaran. Jika dia berijtihad dan dia silap, dia akan mendapat satu ganjaran.” [Sahih al-Bukhari (7352) dan Sahih Muslim (1716)]
Aktiviti inilah apa yang dimaksudkan oleh Khalifah ‘Umar al-Khattab apabila dia menulis kepada Abu Musa al-Ash’ari arahan yang terkenal, kebenarannya diterima secara meluas oleh orang-orang Islam:
“Kemudian kefahaman adalah kefahaman yang kamu perolehi melalui apa yang tidak dinyatakan (secara langsung) di dalam Qur’an dan Sunnah. Kemudian bandingkan masalah-masalah ini secara analogi apabila ia timbul. Ketahuilah mana yang sama dan apa yang mempunyai persamaan. Kemudian cubalah mencari apa yang lebih disukai oleh Allah pada pendapat kamu dan yang paling dekat dengan kebenaran.”
Kita melihat aktiviti yang sama dinyatakan di dalam al-Quran apabila nabi Yusuf AS dituduh melakukan kesalahan:
“Yusuf pula berkata: “Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku”. (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata: “Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta. Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar”. [Surah Yusuf : 26-27]
Ia adalah usaha yang sama sebagaimana yang kita lihat dilakukan oleh nabi Sulaiman AS untuk mengetahui siapakah Ibu sebenar anak tersebut.
Difailkan dalam: Artikel Syeikh Salman al-Oadah | Leave a Comment »





